21 Ogos 2008

SEJARAH BANDAR TAIPING

Bandar Taiping merupakan ibu kota bagi daerah Larut, Matang dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil.

Taiping bermaksud "AMAN" atau "DAMAI" dalam Mandarin. Tercetus dari pertelingkahan puak-puak pendatang negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Kelian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut.

Mengikut bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2000, taburan penduduk di bandar ini adalah seramai 199,330 orang (ke-18).

  • 1880-an bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris kerana daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut) telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sungai Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.